Panduan
5
 minit bacaan

Langkah - Langkah Meningkatkan Peluang Kelulusan Pinjaman Anda

Memohon pinjaman? Jangan sampai jantung berdegup kencang macam nak pecah! Penolakan memang menyakitkan hati, tapi dengan strategi yang betul, peluang untuk pinjaman anda diluluskan akan lebih mudah :)
Ditulis oleh
Amirul Hilmy
Tarikh dikemaskini
29/12/2024

Langkah - Langkah Meningkatkan Peluang Kelulusan Pinjaman  Anda

1. Skor CCRIS Anda: Dari Buruk Menjadi Lebih Baik

CCRIS report ni sebenarnya macam passport untuk kewangan anda. Skor yang tinggi menunjukkan anda seorang yang boleh dipercayai dalam mengurus kewangan, dan ini memudahkan anda mendapat kelulusan pinjaman. Sebaliknya, jika anda mempunyai rekod yang buruk, seperti tunggakan kad kredit selama 6 bulan, skor CCRIS anda akan terjejas dan boleh menyebabkan masalah dalam mendapatkan pinjaman. Oleh itu, pastikan semua bayaran pinjaman dan kad kredit anda sentiasa dalam keadaan teratur dan mengikut jadual.

Bayaran lewat? Elakkan! Jangan biarkan sebarang bayaran tertangguh kerana ini boleh memberi kesan buruk terhadap rekod kewangan anda. Contohnya, tunggakan bil telefon RM50 pun boleh menjejaskan skor CCRIS anda. Jadi, bayar hutang tertunggak walau sekecil mana pun, kerana ia boleh mengubah nasib kewangan anda di masa hadapan. Selain itu, salah satu cara bijak untuk memperbaiki keadaan kewangan ialah dengan menggabungkan beberapa pinjaman kecil menjadi satu pinjaman besar dengan kadar faedah yang lebih rendah. Ini akan memberi kesan positif terhadap CCRIS anda, membuatkan anda kelihatan lebih teratur di mata bank, dan meningkatkan peluang untuk mendapatkan pinjaman yang lebih baik. Pastikan anda sentiasa menjaga CCRIS report agar perjalanan kewangan anda lancar tanpa halangan!

2. Dokumen Yang Lengkap

Bank perlukan dokumen lengkap dan kemas, macam susun atur rumah idaman anda! Kumpul semua dokumen penting awal-awal: payslips, penyata KWSP, dan penyata bank yang menunjukkan pendapatan konsisten (untuk pekerja). Contohnya, pastikan penyata bank menunjukkan aliran masuk gaji yang tetap selama 6 bulan terakhir. Bagi yang berkerja sendiri, sediakan dokumen perniagaan, tax returns, dan penyata bank yang menunjukkan aliran tunai yang baik. Contohnya, sediakan penyata bank yang menunjukkan transaksi jualan dan pendapatan perniagaan yang konsisten. Jangan sampai dokumen hilang atau tak jelas, nanti bank pening kepala!

3. Pendapatan Bersih Boleh Diperuntukkan (NDI): Lebih Banyak, Lebih Baik!

Net Disposable Income (NDI) ni macam duit poket anda selepas tolak semua belanja wajib. Lebih banyak NDI, lebih selesa bank melihat kemampuan anda bayar balik pinjaman. Contohnya, jika anda mempunyai komitmen bulanan yang tinggi seperti sewa rumah, pinjaman kereta, dan kad kredit, NDI anda mungkin rendah. Kurangkan perbelanjaan tak perlu, contohnya langganan streaming yang tidak digunakan, cari pendapatan tambahan, contohnya kerja sambilan, atau gabungkan hutang sedia ada untuk lebihkan aliran tunai. Ingat, keperluan NDI berbeza ikut bank dan lokasi, jadi kena buat research sikit dari google , youtube supaya dapat buat keputusan yang bijak.

Untuk memastikan NDI anda berada pada tahap yang baik, sangat penting untuk peminjam mengawal aliran kewangan (cashflow) dengan bijak. Mulakan dengan membuat bajet bulanan dan senaraikan semua perbelanjaan wajib serta perbelanjaan tambahan. Dengan cara ini, anda boleh mengenal pasti ruang untuk berjimat atau memotong kos yang tidak diperlukan. Selain itu, disiplin kewangan memainkan peranan penting—elakkan berhutang untuk perkara yang tidak penting, dan utamakan pembayaran balik hutang sedia ada. Langkah-langkah ini bukan sahaja membantu meningkatkan NDI, tetapi juga memberikan kestabilan kewangan jangka panjang yang lebih kukuh.

4. Pekerjaan yang tak tetap

Sejarah pekerjaan yang stabil ibarat pokok yang berakar kukuh—tanda seseorang boleh dipercayai dan bertanggungjawab. Bank biasanya lebih suka pemohon yang konsisten dengan majikan kerana ia menunjukkan pendapatan yang tetap. Kalau anda kerap bertukar kerja dalam dua tahun terakhir, ia mungkin dilihat sebagai tanda ketidakstabilan, yang boleh menjejaskan peluang kelulusan pinjaman.

Tapi kalau baru tukar kerja, ada cara untuk meyakinkan bank. Contohnya, sertakan surat pengesahan majikan yang menyatakan status anda, sama ada pekerja tetap atau kontrak panjang. Slip gaji terkini dan penyata KWSP juga boleh membantu menunjukkan kestabilan kewangan. Dengan dokumen yang betul, bank boleh lebih yakin pada kemampuan anda walaupun baru memulakan kerja baharu

5. Nisbah Hutang kepada Pendapatan (DTI): Jangan Sampai Tenggelam!

DTI, atau Debt-to-Income ratio, boleh diibaratkan seperti paras air dalam kapal. Kalau parasnya terlalu tinggi, kapal berisiko tenggelam—begitu juga dengan kewangan anda. DTI yang tinggi menunjukkan anda mempunyai terlalu banyak komitmen kewangan berbanding pendapatan, seperti pinjaman peribadi, pinjaman kereta, dan hutang kad kredit. Bank melihat DTI sebagai petunjuk sama ada anda mampu mengambil pinjaman baru tanpa membebankan kewangan anda.

Untuk turunkan DTI, langkah terbaik adalah mengurangkan hutang sedia ada sebelum membuat permohonan pinjaman baru. Fokus pada membayar hutang dengan kadar faedah tinggi terlebih dahulu untuk meringankan beban kewangan. Selain itu, elakkan mengambil komitmen baru sehingga DTI berada pada tahap yang sihat. DTI yang rendah bukan sahaja memudahkan kelulusan pinjaman, tetapi juga menunjukkan anda bijak menguruskan kewangan.

6. Simpanan Yang Cukup

Simpanan yang mencukupi bukan sahaja menunjukkan anda pandai mengurus kewangan, tetapi juga menggambarkan disiplin yang tinggi dalam perancangan kewangan peribadi. Bank dan institusi kewangan pasti akan menghargai individu yang mempunyai simpanan yang mencukupi kerana ini memberi keyakinan kepada mereka bahawa anda mampu menghadapi sebarang situasi kecemasan. Sebagai contoh, jika anda mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan selama enam bulan, ini menunjukkan bahawa anda mempunyai kewangan yang stabil dan mampu menguruskan kewangan dengan baik.

Sebelum membuat sebarang permohonan pinjaman, pastikan simpanan anda berada pada tahap yang mencukupi. Ini bukan hanya penting untuk memberi kepercayaan kepada bank, tetapi juga menunjukkan anda bersedia menghadapi segala kemungkinan tanpa tekanan. Memiliki simpanan yang mencukupi memberi gambaran bahawa anda boleh menguruskan pinjaman dengan selesa, tanpa risiko kewangan yang besar. Jadi, mulakan merancang kewangan dan menyimpan lebih awal supaya anda lebih bersedia untuk membuat keputusan kewangan yang lebih besar di masa depan.

7. Pilih Produk Pinjaman Dengan Bijak

Jangan terburu-buru memilih produk pinjaman tanpa pertimbangan yang teliti. Ramai yang tertarik dengan kadar faedah yang rendah, tetapi sering terlupa untuk melihat yuran tambahan dan tempoh bayaran balik. Sebelum membuat keputusan, pastikan anda buat kajian mendalam dan bandingkan beberapa produk pinjaman. Lihat bukan sahaja kadar faedah (interest rates), tetapi juga yuran yang dikenakan (fees) dan syarat-syarat bayaran balik (repayment terms).

Pilihlah produk pinjaman yang sesuai dengan kemampuan kewangan anda, supaya anda tidak terbeban pada masa hadapan. Pastikan anda memahami sepenuhnya semua terma dan syarat sebelum menandatangani apa-apa. Pinjaman yang kelihatan menarik pada awalnya mungkin akan memberi masalah kewangan yang besar jika tidak ditangani dengan bijak. Jadi, buat keputusan yang bijak dan pastikan pinjaman yang dipilih sesuai dengan kemampuan anda untuk mengelakkan masalah kewangan di kemudian hari.

8. Jangan Malu Bertanya Pada Pakar Kewangan

Perunding kewangan atau loan consultant boleh diibaratkan seperti GPS untuk perjalanan kewangan anda. Mereka pakar dalam membantu anda memilih produk pinjaman yang paling sesuai dengan keperluan dan kemampuan kewangan anda. Contohnya, mereka boleh membantu anda menganalisis situasi kewangan anda dan memberikan cadangan pinjaman yang terbaik, serta memandu anda melalui setiap langkah dalam proses permohonan.

Jangan malu untuk meminta bantuan daripada pakar kewangan. Mereka boleh memberikan panduan yang jelas dan memastikan anda membuat keputusan kewangan yang bijak. Dengan bantuan mereka, anda dapat mengelakkan kesilapan yang boleh merugikan dan memastikan perjalanan kewangan anda berjalan lancar. Jadi, jika anda rasa perlukan panduan, ambil peluang untuk berunding dengan pakar kewangan.

Kesimpulannya, mendapatkan kelulusan pinjaman bukanlah sekadar soal nasib, tetapi hasil daripada perancangan dan persiapan yang teliti. Dengan mengikuti 8 langkah mudah yang telah dibincangkan, anda bukan sahaja meningkatkan peluang untuk pinjaman anda diluluskan,malah membina asas kewangan yang lebih kukuh untuk masa depan. Ingat, a strong financial profile is your best asset. Untuk baca lebih banyak lagi ilmu hartanah boleh ke link Ilmu dan artikel hartanah